Tuesday, 29 November 2022

Maybank bakal beralih sepenuhnya kepada Secure2u pada 2023

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 September - Maybank bakal beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata ini sejajar dengan usaha bank itu untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

Ini selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya berhijrah daripada kata laluan sekali guna (OTP) SMS kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi ini.

(FOTO HIASAN)

"Kami kekal komited dalam membantu pelanggan bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu. Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan.

"Kami juga menyokong pengumuman BNM pada 26 September lalu berhubung lima langkah yang akan diguna pakai oleh bank-bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. Industri perbankan komited bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini," katanya menerusi kenyataan.

Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun bagi meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, 'push notification' dan e-mel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.