Thursday, 8 December 2022

Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 September- Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini dari 5.5 peratus kepada 6.4 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata unjuran lebih tinggi itu berdasarkan prestasi ekonomi negara yang kukuh pada separuh pertama 2022.

Bercakap pada taklimat media Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia secara maya, jelasnya prestasi lebih baik dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan turut menyumbang kepada semakan semula itu.

"Kami jangkakan momentum pertumbuhan positif akan berterusan hingga separuh kedua tahun ini.

"Pertumbuhan suku ketiga 2022 juga akan berasaskan asas yang rendah pada suku ketiga 2021 apabila ekonomi menguncup 4.5 peratus," katanya.

(Unjuran lebih tinggi itu berdasarkan prestasi ekonomi negara yang kukuh pada separuh pertama 2022)

Bank Dunia bagaimanapun menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK negara tahun hadapan kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus.

Ia sejajar cabaran ketidaktentuan ekonomi global termasuk perkembangan terkini di Ukraine dan kelembapan ekonomi di China.

Namun asas ekonomi negara yang kukuh disokong kedudukan sebagai peserta komoditi elektrik serta gangguan rantaian bekalan yang terhad di Asia berbanding Barat, akan memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan.