Thursday, 8 December 2022

PERODUA perkenal Ativa Hybrid, terhad untuk 300 pelanggan korporat

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 September- PERODUA memperkenalkan model hibrid pertamanya, Ativa Hybrid.

Ia terhad kepada 300 pelanggan individu dan korporat, pengenalan model itu sebahagian daripada kajian kenderaan elektrik pertama serta mobiliti jangka panjang.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, kajian itu bertujuan memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid.

Ia melibat lokasi berpenduduk padat di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Untuk mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan, mengenai penggunaan kereta hibrid, mengenai 'performance handling' kereta dan sebagainya, dan kedua kita nak memahami cara 'subscription rental' servis dan kita baru nak mencuba. Jadi kita kata dia sewa kereta ni, bayar RM500 sebulan, 'maintainance' semuanya ditanggung PERODUA," katanya.

Zainal berkata demikian pada sidang media Majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid di ibu negara, semalam.


(Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad)

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Lokman Hakim Ali; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi.

Jelasnya, pelanggan terpilih perlu membayar RM500 sebulan selama lima tahun atau sehingga jarak pemanduan 100,000 kilometer sebelum memulangkan semula kereta berkenaan.

Tambahnya, program perintis itu juga membolehkan syarikat melihat tahap penerimaan pelanggan terhadap perkhidmatan langganan jangka panjang.

PERODUA sebelum ini telah pun mempunyai perkhidmatan langganan sedia ada yang diuruskan di bawah EZ MOBI, tetapi buat masa ini perkhidmatan langganan hanya untuk syarikat dan bukan individu.

Perkhidmatan EZ MOBI PERODUA mula diperkenalkan pada Januari 2021.