Thursday, 8 December 2022

KPDNHEP saran sektor peruncitan ketengah produk tempatan

  • Published in Ekonomi

(Azman (dua, kiri) membantu pelanggan mendapatkan ayam segar pada harga
RM5 seekor pada perasmian penjenamaan semula Pasaraya Ameen Hall Mart di Losong
Feri, Kuala Terengganu, semalam/ BERNAMA)

KUALA TERENGGANU, 27 September-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan lebih banyak produk tempatan diketengah dan dipasarkan menerusi sektor peruncitan bagi membantu mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata langkah itu turut membantu menjayakan agenda kerajaan terutama dalam Kempen Beli Barangan Malaysia.

Ujarnya, barangan produk keluaran tempatan juga berkualiti dan dijual dengan harga berpatutan serta status halalnya yang terjamin.

"Langkah itu juga memberi petanda baik dalam mengaktifkan semula ekonomi masyarakat, khususnya mereka yang terbabit dalam PMKS," katanya selepas merasmikan penjenamaan semula pasar raya Ameen Hallmart di Kuala Terengganu, semalam.


(Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof)

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu, Azman berkata, pembabitan sektor peruncitan dalam program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dapat mengetengahkan usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.

"Untuk kurangkan kos penganjuran JMKM, kita gunakan fasiliti sedia ada contohnya pasar raya untuk melaksanakan jualan murah.

"Selain peruncit kurangkan harga, insentif kerajaan pun ada sebab kerajaan ambil berat keresahan orang ramai berkaitan harga barangan yang tinggi," katanya.

Azman berkata, pihaknya yakin pasar raya seperti Ameen Hallmart mampu menjadi platform contoh untuk Kempen Beli Barangan Malaysia dan menjadi satu daripada rakan strategik program JMKM di negeri ini.

Menurutnya penjenamaan semula perniagaan peruncitan juga berupaya menjadikan pasar raya tersebut lebih berdaya saing dengan menawarkan lebih banyak produk barangan keperluan.