Thursday, 8 December 2022

Kuskop- Bank Rakyat peruntuk RM40 juta bagi pembiayaan BR ProNiaga dan BR KOPLestari

  • Published in Ekonomi

(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar)

TANJONG KARANG, 27 September- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Bank Rakyat memperuntukkan dana berjumlah RM40 juta bagi membantu usahawan dan perniagaan koperasi sektor pendidikan serta masjid.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu akan disalurkan melalui dua jenis kemudahan pembiayaan iaitu BR ProNiaga dan BR KOPLestari.

Beliau berkata, ia seiring saranan kerajaan untuk menawarkan pilihan produk perbankan, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan.

"Dalam usaha kita nak menggalakkan perkembangan koperasi, satu lagi skim baru yang dinamakan skim BR KOPLestari ini untuk membantu menlestarikan koperasi. Kita peruntukan RM30 juta ialah khususnya kepada koperasi- koperasi masjid kemudian kita juga beri tumpuan kepada koperasi pusat-pusat pengajian tinggi IPTA dan IPG," katanya.

Noh ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang.


(Tan Sri Noh merasmikan cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang)

BR ProNiaga memperuntukkan RM10 juta bagi membantu golongan profesional yang terjejas pandemik COVID-19 dan kini menceburi bidang perniagaan dengan menjadi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagi usahawan mikro, pinjaman ditawarkan antara RM10,000 hingga RM50,000 manakala bagi usahawan profesional, pinjaman boleh mencecah sehingga RM150,000.

Permohonan pembiayaan itu boleh dibuat di semua cawangan Bank Rakyat.