Thursday, 8 December 2022

Bursa Malaysia Derivatives diiktiraf bursa terbaik tahun ini bagi komoditi dan kemampanan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 26 September- Bursa Malaysia Derivatives Bhd diiktiraf sebagai Bursa Terbaik Tahun ini - Komoditi dan Bursa Terbaik Tahun ini - Kemampanan oleh Futures and Options World (FOW) Global Investor Group yang berpangkalan di London menerusi Anugerah Pasaran Modal Asia 2022.

Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata bursa kekal teguh dalam memudahkan dapatan harga yang lebih baik dan menyediakan akses tambahan bagi dagangan untuk pelabur tempatan dan asing walaupun ketidaktentuan pasaran yang lebih ketara dialami pada 2021

“Anugerah ini adalah bukti komitmen bursa untuk terus membangunkan produk dan perkhidmatan baharu bagi memenuhi keperluan lindung nilai dan dagangan peniaga dan peserta industri, khususnya dalam prospek pasaran yang semakin mencabar ketika ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


(Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia
Datuk Muhamad Umar Swift/BERNAMA)

Menurut bursa, kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) oleh Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri 2021 dengan prestasi yang amat memberangsangkan apabila mencatatkan jumlah dagangan keseluruhan bagi setahun penun sebanyak 15.6 juta kontrak atau 390 juta tan minyak sawit mentah (MSM).

Ini adalah lebih lima kali daripada jumlah MSM yang dihasilkan di seluruh dunia.

“Bagi menyediakan ketelusan harga yang lebih tinggi untuk peserta pasaran MSM di Sabah dan Sarawak, bursa telah melancarkan kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) tahun lepas.

“Dalam tempoh sebelas bulan daripada pelancaran FEPO, sejumlah 6,130 kontrak didagangkan telah dicatatkan dengan kepentingan terbuka harian tertinggi sebanyak 208 lot pada 17 Jun, 2022,” jelasnya.

Tahun lepas, Bursa Malaysia Derivatives mula menerima guna pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia dalam proses serahan fizikal kontrak FCPO dan FEPO.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd Saleem Kader Bakas berkata bursa ini berperanan penting dalam mempengaruhi peralihan kepada amalan lebih mampan dalam pasaran fizikal untuk menambah baik tawaran produk.

“Satu usaha yang penting adalah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi perkongsian strategik dengan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia untuk menggalakkan amalan kemampanan dan bertanggungjawab dalam kalangan peserta rantaian bekalan minyak sawit.

“Kami akan terus menggiatkan usaha dalam penambahbaikan strategik dan inovasi produk untuk meningkatkan daya tarikan kuat pasaran derivatif Malaysia kepada pelabur,” katanya.- BERNAMA