Tuesday, 29 November 2022

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 26 September- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah pasaran hadapan getah serantau serta kerugian yang dialami dalam harga minyak mentah.

Seorang peniaga berkata sentimen diheret turun oleh ketidaktentuan pasaran yang tercetus daripada kenaikan kadar faedah terkini Amerika Syarikat.

“Niaga hadapan getah Jepun susut hari ini disebabkan kerugian dalam ekuiti domestik dan harga Shanghai yang lebih lemah di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap kelembapan ekonomi global,” katanya.

Namun begitu, kerugian selanjutnya dihadkan oleh nilai ringgit yang terus lemah berbanding dolar AS.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik satu sen kepada 601 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 468 sen sekg.

Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 601 sen sekg manakala lateks pukal pada 466.5 sen sekg.- BERNAMA


(Foto hiasan)