Wednesday, 28 September 2022

Inflasi Januari-Ogos 2022 meningkat 3.1 peratus

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 September- Kadar inflasi negara meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, selari jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan didorong permintaan dalam negara yang kukuh, harga komoditi yang masih tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global.

"Bagi Ogos 2022, kadar inflasi negara meningkat sedikit kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus bulan sebelumnya.

Ini berikutan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api," katanya menerusi kenyataan.

(Datuk Seri Mustapa Mohamed)

Jelasnya, kadar inflasi Malaysia antara yang terendah di dunia berbanding Amerika Syarikat, Thailand, Filipina dan Korea Selatan.

Keadaan ini didorong langkah kerajaan menyediakan subsidi terbesar dalam sejarah negara.

Kerajaan katanya, akan terus membendung inflasi, terutama melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

"Menerusi langkah berterusan, inflasi negara secara keseluruhan adalah terkawal dengan harga bagi beberapa barangan makanan asas yang mengalami peningkatan tinggi sebelum ini kembali stabil.

Pengukuhan sekuriti makanan juga akan terus diberi tumpuan," menurut kenyataan itu lagi.

Tambah beliau, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan kajian bagi mengenal pasti langkah segera dalam menangani isu dan cabaran sekuriti makanan negara.

Kajian tersebut dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.