Wednesday, 28 September 2022

Syarikat perlu terap prinsip ESG, elak risiko hilang akses modal

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 September- Komuniti perniagaan perlu menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) jika tidak mahu berdepan risiko kehilangan akses kepada modal bertujuan tertentu melibatkan pelabur institusi yang mempunyai pengaruh serta nilai aset besar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, langkah tersebut penting memandangkan nilai aset-aset ESG dijangka mencecah US$53 trilion (US$1=RM4.56) menjelang 2025.

Ujarnya, pelabur institusi membawa pengaruh kolektif yang besar dengan aset di bawah pengurusan bernilai 2.2 trilion ringgit dan kira-kira RM750 bilion dalam bursa saham tempatan.

(Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan)

“Berdasarkan saiz dan kapasiti itu, pelabur institusi boleh serta perlu berperanan penting untuk memacu pandangan yang berkesan, menjana pemangkin yang kebal masa depan serta membuka nilai menerusi penglibatan aktif dengan syarikat penerima pelaburan atau portfolio terbabit. 

Ini bukan saja bagi tujuan mendapatkan pulangan semata-mata tetapi juga bertujuan tertentu yang berteraskan prinsip-prinsip ESG,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tadbir Urus Korporat 2022 Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di sini.

Pada acara sama, beliau turut melancarkan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi 2022 yang menggantikan kod pertama diterbitkan pada 2014.