Wednesday, 28 September 2022

BNM pantau rapi, pastikan pasaran kewangan kekal teratur

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 September- Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau rapi dan memastikan pasaran kewangan kekal teratur.

Ia susulan perkembangan luaran yang mendorong pengukuhan dolar Amerika berbanding hampir semua mata wang, termasuk ringgit.

Menurut Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Ekonomi negara berkembang 8.9 peratus pada suku kedua dan akan terus didorong keadaan pasaran pekerja dan aktiviti pelancongan yang bertambah baik.

Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi," katanya menerusi kenyataan.

(Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor BNM)

Tambah beliau, pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi.

"Keutamaan dasar pada masa ini untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan asas-asas ekonomi melalui pembaharuan struktur.

Bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit," menurut kenyataan itu lagi.

Justeru, pergerakan ringgit tegasnya akan terus ditentukan oleh pasaran.

Manakala, pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan.