Sunday, 2 October 2022

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 September- Ringgit mencatat prestasi rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat berikutan kekurangan momentum belian ketika permintaan terhadap dolar AS terus meningkat kerana dilihat sebagai aset selamat.

Pada pukul 9.00 pagi ini, ringgit susut kepada 4.5670/5710 berbanding dolar AS daripada paras 4.5660/5695, semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini hanya membuktikan bahawa bank pusat AS akan meneruskan dasar monetari yang ketat bagi membendung kenaikan inflasi.

“Malah, pasaran turut menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meneruskan pendirian itu sehingga akhir tahun yang berkemungkinan menyaksikan kadar faedah itu dalam julat 4.0-4.5 peratus.

“(Berikutan itu) dolar AS akan terus mengukuh berbanding ringgit sehingga mencecah pada paras 4.6000,” katanya.

(Foto hiasan)

Bagaimanapun, dari sudut teknikal, Diniz berkata dolar AS berada dalam situasi terlebih beli berbanding ringgit yang akan menjadi pertimbangan bagi pelabur yang memilih mata wang terbabit.

Pada sesi awal hari ini, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.2139/2172 daripada 3.1890/1919 semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2207/2238 daripada 3.2196/2225.

Bagaimanapun, unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1447/1492 daripada 5.1564/1603 dan meningkat berbanding euro kepada 4.4958/4997 daripada 4.5002/5037.- BERNAMA