Sunday, 2 October 2022

TH catat pendapatan RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 September- Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan berjumlah RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022.

Jumlah deposit merekodkan nilai RM88.09 bilion, paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

TH dalam kenyataan memaklumkan, pelaburan pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM966.34 juta bagi tempoh tersebut, merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.

Sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih 200,000 akaun simpanan baharu dibuka menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit meningkat kepada 8.6 juta orang.

Ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan terhadap TH sebagai institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji masih kekal utuh.

(Sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih 200,000 akaun simpanan baharu dibuka menyaksikan
peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit meningkat kepada 8.6 juta orang)

Pencapaian tersebut juga membuktikan daya tahan TH walaupun berdepan impak pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, termasuk ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia.

Pendekatan pelaburan yang mengutamakan keselamatan pulangan, menunjukkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan para pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka.  

Melangkah ke hadapan, pengurus dana haji itu akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan dan menguruskan kos operasi lebih cekap demi agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk pendepositnya.