Sunday, 2 October 2022

Eksport industri perkayuan RM28 bilion menjelang 2025

  • Published in Ekonomi

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

KOTA BHARU, 22 September- Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mensasarkan eksport industri perkayuan mencecah RM28 bilion menjelang 2025, kata Pengerusinya Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan Dasar Agrokomoditi Kayu Negara (DAKN) yang dilancarkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta sokongan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) bagi 2021 hingga 2025.

"Pemerkasaan pengembangan industri perkayuan negara akan sentiasa menjadi keutamaan kepada MTIB dalam menghadapi isu dan cabaran ketika ini termasuk isu berkaitan sumber bahan mentah, tenaga kerja, perkapalan, kos pengeluaran dan produktiviti.

"Bagi memastikan sasaran jualan domestik dapat mencecah RM20 bilion pada 2025, MTIB kini giat mempromosikan penggunaan kayu di pasaran tempatan seperti mengadakan kempen promosi di media massa, penyertaan pameran dan penganjuran pameran seperti Wood & Life style Fair (WLF) yang mula dijenamakan oleh MTIB sejak 2016," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran WLF Wilayah Timur 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata nilai eksport produk kayu-kayan negara pada 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak tiga peratus iaitu RM22.74 bilion berbanding RM22.07 bilion pada tahun sebelumnya.

((Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Hishamuddin Abdul Karim (tiga, kanan)
mendengar penerangan dari Pengarah Urusan Cengal Timber Craft, Burhan Ashari (kanan) pada lawatan ke ruang
pameran selepas perasmian Pameran Wood & Lifestyle Fair (WLF) Wilayah Timur di Mydin Mall, Tunjong/BERNAMA)


Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula industri perkayuan negara mencatatkan pertambahan eksport sebanyak 14 peratus kepada RM13.2 bilion berbanding RM11.6 bilion dalam tempoh sama pada 2021.

Dalam perkembangan sama, Hishamuddin berkata menerusi pameran WLF kali ini, MTIB mensasarkan impak yang lebih meluas bagi peserta terutamanya dalam memperkasa pengetahuan usahawan berkaitan minat, trend, selera pasaran semasa termasuk elemen berkaitan hijau dan lestari dalam industri perkayuan selain membangunkan reka cipta hasil yang berinovasi di masa hadapan.

"Untuk rekod, pelaksanaan WLF sebagai platform pameran perdagangan untuk usahawan dalam tempoh empat tahun mulai 2016 hingga 2020 telah berjaya mencatat jualan sehingga RM35 juta.

"Bagi pameran kali ini pula ia melibatkan seramai 19 peserta yang terdiri daripada pengeluar perabot rumah, kabinet dapur, kraftangan dan cenderahati dari sekitar Kelantan dan Terengganu," katanya.

-- BERNAMA