Sunday, 2 October 2022

Pelaksanaan subsidi bersasar perlu jadi tumpuan dalam Bajet 2023

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 September- Trend kenaikan Kadar Dasar Semalam, OPR dijangka berterusan tahun hadapan dan mampu mencecah paras pra-pandemik pada 3.25 peratus.

Keputusan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari, MPC Bank Negara itu bertujuan memperlahan inflasi yang meningkat 4.4 peratus pada Ogos.

Justeru kerajaan menerusi Bajet 2023 dijangka terus menumpukan kepada usaha menangani isu sara hidup rakyat demi mendepani cabaran inflasi.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat tiba masa untuk kerajaan melaksana langkah intervensi menerusi mekanisme subsidi bersasar.

Langkah tersebut dilihat mampu mengelak ketirisan selain mengawal perbelanjaan hasil negara secara optimum.

"Golongan B40 tetap akan mendapat manfaat itu, sama ada subsidi bersasar atau pukal.

"Bagaimanapun golongan lain tetap akan terjejas oleh itu saya melihat selain peningkatan OPR dan subsidi bersasar ini, perlu ada inisiatif tambahan oleh kerajaan berbentuk bantuan berkala untuk memastikan mereka ini tidak terjejas dengan teruk.

"Dan saya lihat ruang itu masih ada kerana hasil kerajaan makin meningkat dengan eksport," katanya kepada RTM.

(Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff)

Tambahnya selain kerajaan, pihak berkepentingan lain juga perlu memperkenal alternatif kepada pembiayaan tradisional bagi mengatasi masalah keberhutangan tinggi dalam kalangan rakyat.

Antaranya konsep pembiayaan Qardhul Hasan atau Pinjaman Ihsan yang tidak melibatkan faedah tambahan.

"Rumah harga RM300,000 tapi hutang terpaksa bayar kepada bank sampai RM700,000 sebab banyak faedah riba itu. Sebenarnya alternatif pemilikan tanpa melalui pinjaman bank itu ada, ini yang perlu digalakkan.

"Bagaimana rakyat boleh memiliki kereta tanpa pinjaman dan membuat pinjaman peribadi tanpa faedah melalui konsep Qardhul Hasan. Alternatif pembiayaan tanpa melibatkan faedah ini sebenarnya banyak...di sini kerajaan kena galakkan," tambah beliau.

Institusi kewangan juga disaran bekerjasama dengan kerajaan dalam menawarkan inovasi kewangan mesra rakyat jangka panjang bukan sekadar menawarkan moratorium semata-mata.