Sunday, 2 October 2022

Kerajaan tidak bercadang untuk tambat ringgit - Zafrul

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 September - Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi rujukan atau asas bagi tambatan ringgit.

(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

"Jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS.

"Langkah tambatan mata wang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd, di sini.

Zafrul berkata demikian bagi mengulas mengenai prestasi ringgit dan desakan untuk tambatan ringgit dilaksanakan.

Tambah Zafrul, berdasarkan petunjuk ekonomi yang telah dicapai, negara tidak berada di dalam situasi krisis kewangan mahupun ekonomi jika dibandingkan situasi ketika 1997 dan 1998.

Katanya, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan dasar penting bagi mengimbangi keperluan dalam menyerap kejutan luaran.