Sunday, 2 October 2022

Bajet 2023: Cadangan perkenal ekosistem berskala besar

  • Published in Ekonomi

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 21 September- Bajet 2023 yang dirangka berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat perlu mengutamakan peluang pekerjaan.

Ini dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Polisi dan Hal-Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) Dr. Zokhri Idris berkata, ke arah itu kerajaan harus memperkenal ekosistem ekonomi yang berskala besar.

"Jadi apabila sistem ekonomi ini bergerak dengan sihat, kompetitif ia dapat menarik pelaburan dan pada masa sama mewujudkan kitaran serta aktiviti ekonomi tempatan, maka hasilnya akan dapat peluang pekerjaan yang lebih banyak.

"Jadi peluang pekerjaan itu adalah output atau hasil selepas daripada kita berjaya mewujudkan sistem ekonomi yang sihat, mampan, menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan," katanya kepada RTM.

(Dr. Zokhri Idris)

Beliau optimis, penetapan gaji minimum mengikut kelayakan akan turut diberi fokus dalam pembentangan belanjawan kali ini.

Tahap perlindungan sosial pekerja dalam beberapa sektor juga harus diperluas terutama membabitkan individu bekerja sendiri dan dalam sektor tidak formal.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kitaran, Pengurusan Sisa dan Alam Sekitar, Dr S. Sri Umeswara pula berpendapat Bajet 2023 perlu memberi galakan untuk pembangunan inklusif dan mampan selain menggariskan penguatkuasaan lebih tegas bagi melindungi alam sekitar.

"Jadi tindakan atau hukuman haruslah setimpal dengan kesalahan.

"Kemudian pelepasan cukai atau subsidi boleh diberikan kepada yang menggunakan teknologi, mengurangkan sumber tenaga yang mendorong kepada pembangunan supaya tidak mencemarkan alam sekitar," jelasnya.

(Dr S. Sri Umeswara)

Menerusi kenyataan Pra-Bajet 2023, kerajaan mengekalkan komitmen untuk mengutamakan program dan projek pembangunan yang memberi tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).