Sunday, 2 October 2022

Khazanah Nasional teroka potensi pelaburan baharu di Asia Tenggara dan India

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 September -Khazanah Nasional Bhd akan meneroka peluang pelaburan strategik baharu di Asia Tenggara dan India bagi mengukuhkan lagi portfolio pelaburannya di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pemilihan dua pasaran berpotensi itu sebagai destinasi pelaburan berpotensi baharu adalah langkah untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan, sekali gus dapat meningkatkan kehadirannya di peringkat dunia.

(Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir)

"Apa yang dilaksanakan kami adalah meninjau pelaburan strategik. Persoalan kini adalah masa, bila dan pasaran mana. Justeru, buat masa ini kami akan meninjau pasaran Asia Tenggara dan India untuk meningkatkan portfolio pelaburan Khazanah Nasional," katanya dalam forum 'MIDF Conversations' yang diadakan secara maya.

Tambah Amirul, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit ketika ini memberi cabaran kepada Khazanah Nasional sekaligus 2022 menjadi tahun yang sukar dalam aspek pelaburan.

Beliau berkata, prestasi pelaburan pengurus dana kekayaan kerajaan itu cenderung kepada kesan penilaian di seluruh dunia dan bagaimana impak kekuatan dolar AS kepada mata wang di seluruh dunia.

"Ia bukan sahaja mengenai dolar AS kerana anda tahu, ia juga membabitkan penilaian pelaburan lain juga. Saya fikir kesan ke atas pelaburan Khazanah Nasional juga tidak dapat dielakkan dan keadaan ini terpaksa dihadapi oleh mana-mana pengurus dana.

"Kita perlu melihat aspek kenaikan kadar faedah dan bagaimana kesan yang berlaku ke atas pelbagai ekonomi dan negara. Sudah tentu akan memberi kesan. Seperti yang saya katakan, 2022 bukan tahun mudah untuk melabur," katanya.