Sunday, 2 October 2022

Nilai jualan KBBM dijangka meningkat 2.5 peratus tahun ini - Rosol

  • Published in Ekonomi

PETALING JAYA, 21 September - Nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata berikutan itu nilai jualan barangan buatan Malaysia diramal mencecah RM4.4 bilion pada tahun ini berbanding RM3.2 bilion pada tahun sebelumnya.

(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid)

“Kita jangka tahun ini dalam masa tiga bulan lagi, nilai jualan cecah RM80 juta. Selepas pandemik kita nampak rakyat sudah mula membeli. Mutu produk kita setanding macam makanan, kosmetik sudah setanding produk luar negara. Ini punca kita menjadikan target 2.5 peratus meningkat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Love Local di Stesen Petronas Kota Damansara 1, di sini.

Tambah Rosol, KBBM dan pasaran produk tempatan terus disemarakkan menerusi Program Love Local di stesen Petronas secara meluas.

Menurut Rosol, menerusi program tersebut lebih 1,800 usahawan atau pengeluar diberi peluang memasarkan pelbagai produk masing-masing di rangkaian Kedai Mesra Petronas.

“Hari ini sahaja ada 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempromosi dan memperkenalkan barangan mereka, ada setengahnya sudah pun masuk di Kedai Mesra Petronas ada yang masih dalam proses membekalkan," katanya.