Wednesday, 28 September 2022

Perdagangan Malaysia berkembang 39.8 peratus kepada RM252.65 bilion pada Julai 2022

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Perdagangan Malaysia kekal pada trajektori positif apabila mencatat pertumbuhan dua angka bagi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan Julai lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah dagangan berkembang 39.8 peratus kepada RM252.65 bilion, berbanding RM180.69 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Eksport meningkat 38 peratus kepada RM134.07 bilion, menjadikannya pertumbuhan dua digit untuk 12 bulan berturut-turut.

"Pertumbuhan dipacu peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum serta gas asli cecair," katanya dalam kenyataan mengenai perangkaan perdagangan luar Malaysia.

(Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri)

Tambah Datuk Seri Mohamed Azmin, import berkembang 41.9 peratus kepada RM118.58 bilion.

Lebihan dagangan pula tumbuh 14.3 peratus kepada RM15.49 bilion.

China, Singapura dan Amerika Syarikat merupakan rakan dagang utama negara bagi tempoh tersebut.

Perdagangan dengan ASEAN melonjak 63 peratus tahun ke tahun kepada RM73.31 bilion, merangkumi 29 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara.