Wednesday, 28 September 2022

Pertumbuhan produktiviti buruh dijangka melepasi 3.6 peratus tahun ini

  • Published in Ekonomi

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed)

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Pertumbuhan produktiviti buruh bagi tahun ini dijangka melepasi 3.6 peratus, sasaran ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini berdasarkan prestasi suku kedua yang mencatat pertumbuhan 5.5 peratus bersamaan RM23,322 bagi setiap pekerja.

Menerusi kenyataan jelasnya, pertumbuhan produktiviti buruh setiap pekerja pada suku kedua lebih tinggi berbanding pencapaian keseluruhan pada tahun 2021 sebanyak 1.8 peratus.

Berdasarkan jam bekerja, produktiviti meningkat 1.3 peratus dengan RM41 bagi setiap jam bekerja.

Pertumbuhan produktiviti buruh ini selaras peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar yang berkembang sebanyak 8.9 peratus.


(Foto hiasan)

Dasar dan strategi yang dilaksanakan di bawah RMKe-12 dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh.

Antaranya mewujudkan sembilan Nexus Produktiviti bagi merangka dan meneraju pelan tindakan di peringkat perusahaan.

Bagi menambah baik pelaksanaan program peningkatan produktiviti, pemantauan di peringkat sektor dan perusahaan turut dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Sementara itu, jelasnya pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 dijangka turut meningkatkan produktiviti dan kecekapan pasaran buruh.