Wednesday, 28 September 2022

Malaysia terus kukuh kedudukan peneraju industri kewangan Islam global

  • Published in Ekonomi

(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah)

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri kewangan Islam global terus diperkukuh.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, negara ini kini muncul sebagai hab teknologi kewangan Islam terkemuka dunia yang menempatkan pelbagai syarikat permulaan Fintech Islam.

Jelasnya, garis panduan kawal selia yang komprehensif dan jelas antara faktor utama yang menjadikan negara sebagai destinasi pilihan.

"Berdasarkan Laporan Fintech Islamik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang diterbitkan pada Februari tahun ini, sejumlah 26 penyedia fintech Islam beroperasi di Malaysia pada 2019, lebih tinggi daripada UK (19), Emiriah Arab Bersatu (16), Indonesia (12) dan AS (10)," kata beliau ketika berucap pada majlis Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF kali ke-15, di sini hari ini.


(Foto fail)

Tambah Mohd Shahar, negara ini kekal sebagai pasaran kewangan Islam terbesar di Asia Tenggara berdasarkan jumlah terbitan bon korporat dan sukuk berjumlah RM114.29 bilion tahun lalu berbanding RM104.58 bilion pada tahun 2020.

Manakala saiz pasaran modal Islam meningkat kepada RM2.31 trilion pada akhir tahun 2021 daripada RM2.26 trilion tahun sebelumnya.