Wednesday, 28 September 2022

Lebih 12,000 peluang kerja bakal diwujudkan - PM

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaburan itu bakal menjana 12,315 peluang pekerjaan.

Pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik, mekanikal dan elektrikal serta Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

(FOTO HIASAN)

"Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” kata Ismail dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA Kali Ke-29.

Ismail Sabri berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

"NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik,” katanya.

(FOTO FAIL)

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, katanya NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Katanya pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.