Wednesday, 28 September 2022

Pendekatan responsif, bertanggungjawab pulihkan ekonomi penunjuk utama kejayaan PM

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Pendekatan responsif dan bertanggungjawab dalam memulihkan ekonomi negara selepas pandemik COVID-19 menjadi penunjuk utama kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang tempoh setahun pentadbiran beliau, kata ahli-ahli ekonomi.

Ekonomi negara berkembang 8.9% bagi suku kedua tahun ini merupakan yang terbaik di Asia Tenggara. Pertumbuhan pesat itu adalah hasil daripada keputusan kerajaan untuk membuka semula semua sektor ekonomi dan sempadan negara yang seterusnya memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Kadar pengangguran turun kepada 3.8% daripada 4.3% sebelumnya.

Jumlah perdagangan luar melebihi RM2 trilion pada 2021, kadar pertumbuhan terpantas sejak 1994 dan pada Jun 2022, perdagangan luar meningkat 43.3% tahun ke tahun kepada RM270.4 bilion iaitu pertumbuhan dua angka selama 17 bulan sejak Februari 2021.

Profesor Emeritus Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata Perdana Menteri berani mengambil langkah drastik dalam memperkenalkan inisiatif bagi membantu Keluarga Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pulih kembali.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif seperti SemarakNiaga, Malaysia Digital dan JaminKerja membantu transformasi ekonomi negara ke arah sistem digital dan membuka lebih banyak peluang bagi Keluarga Malaysia untuk bangkit kembali dalam keadaan ekonomi global yang tidak stabil.

“Selain itu, satu daripada pencapaian utama Perdana Menteri adalah kejayaan melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang secara langsung menstabilkan situasi politik negara dan membuka laluan bagi pemulihan ekonomi yang konsisten.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Perdana Menteri dilihat sebagai seorang pemimpin yang berani dalam memperkenalkan dasar baharu di luar tradisi pemimpin daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Barjoyai, kadar inflasi di negara ini sebanyak 3.4% antara yang terendah di rantau ini merupakan antara hasil daripada usaha kerajaan untuk memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.

Beliau berkata usaha kerajaan mengagihkan subsidi berjumlah RM77.7 bilion pada tahun ini adalah tepat pada masanya dalam mengawal inflasi di negara ini daripada terus terjejas berikutan peningkatan inflasi global.

“Bayangkan jika subsidi petrol dan diesel dimansuhkan, walaupun kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM35 bilion, impak daripada kenaikan harga barang akan ketara berikutan ia akan terjejas oleh kos logistik dan pengangkutan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah tepat, kita hanya perlu memikirkan strategi holistik yang baharu untuk tidak hanya bergantung kepada subsidi secara keseluruhan pada masa depan,” katanya.

Pendapat beliau senada dengan seorang ahli ekonomi yang juga bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Zakariah Abdul Rashid, yang berkata bahawa pembaharuan struktur ekonomi diperlukan untuk memastikan pendapatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia terus stabil.

Zakariah berkata usaha untuk memperkukuh pemulihan ekonomi negara, memastikan PKS terus berdaya saing dan dapat membina semula, seterusnya menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi juga menjadi agenda penting yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Pengenalan inisiatif SemarakNiaga bernilai RM40 bilion terdiri daripada pelbagai langkah untuk membantu perniagaan pulih dengan segera adalah tepat pada masanya.

“PKS termasuk perusahaan mikro mewakili sejumlah besar daripada organisasi dalam sistem ekonomi negara. Dalam proses pemulihan ini, Perdana Menteri telah memberikan banyak perhatian kepada kumpulan ini.

“Ini termasuk pemberian subsidi yang membantu perniagaan mengekalkan daya tahan mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi global,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan penciptaan pekerjaan, kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri telah melaksanakan program JaminKerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion, yang menyasarkan kewujudan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

Kadar pengangguran pada April dan Mei 2022 kekal pada 3.9% iaitu lebih rendah berbanding unjuran 4% pada tahun ini, berbanding kadar pengangguran tertinggi pada 5.3% yang dicatatkan pada Mei 2020.

Pada 2021, kerajaan menyasar mewujudkan 500,000 pekerjaan. Bagaimanapun, 558,633 pekerjaan telah berjaya diwujudkan melalui pelbagai inisiatif termasuk konsep pendekatan keseluruhan negara.

Mengulas mengenai isu pekerjaan, pensyarah di Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata inisiatif kerajaan ke arah memperkukuh peluang pekerjaan mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat pada masa depan.

Beliau berkata, dalam keadaan kebanyakan sektor ekonomi telah dibuka kembali, usaha untuk melahirkan lebih banyak pekerjaan dapat membantu meningkatkan proses pemulihan ekonomi negara.

“Menawarkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji lebih baik dalam sektor perladangan akan turut memastikan kekurangan buruh di negara ini dapat ditangani, seterusnya meningkatan produktiviti dan pengeluaran barangan untuk dieksport.

“Bagi menyediakan pekerjaan yang mampu bertahan, kerajaan boleh meneroka bidang baharu pekerjaan yang diintegrasikan dengan teknologi baharu, seiring dengan usaha untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi,” menurut Abu Sofian. -BERNAMA