Wednesday, 28 September 2022

MAG laksana program pembaharuan armada, muktamad pemerolehan 20 pesawat A330neo

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 15 Ogos- Malaysia Aviation Group (MAG) melaksanakan program pembaharuan armada menerusi pemerolehan 20 pesawat badan lebar A330neo daripada Airbus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail berkata syarikat induk Malaysia Airlines itu tidak mengeluarkan sebarang kos bagi pemerolehan kesemua pesawat berkenaan.

"10 dibeli dari Avolon, 10 lagi dari Airbus, kemudian dipajak semula kepada Avolon. Jadi kami tidak mengeluarkan sebarang kos.

"Hanya pembiayaan minima melibatkan perkhidmatan pesawat tetapi untuk menjawab soalan berapa nilai yang dibelanjakan Malaysia Airlines untuk pemerolehan pesawat ini, ia dilakukan menerusi pembelian dan pajakan," katanya.

(Kapten Izham Ismail)

Beliau menyatakan demikian pada sidang media pengumuman rasmi dan pemeteraian Perjanjian Persefahaman antara MAG dan Airbus, serta perjanjian bersama MAG dengan pengeluar enjin Rolls-Royce dan Avolon, di sini.

Turut menyaksikan acara tersebut, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pesawat A330neo bukan sahaja menawarkan pemodenan armada serta melonjakkan kecekapan operasi, malah turut memenuhi sasaran alam sekitar melalui pengurangan pembakaran bahan api.