Wednesday, 28 September 2022

Kerajaan terus sokong pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ)

  • Published in Ekonomi

(Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Kerajaan akan terus menyokong pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) sebagaimana yang telah dirancangkan bagi menggalakkan sektor pelaburan selain merancakkan pembangunan ekonomi.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata sehingga Jun 2022, projek pembangunan DELAPAN dalam kawasan SBEZ misalnya telah berjaya memeterai tiga perjanjian pelaburan strategik hartanah dengan nilai kumulatif bernilai RM7.2 bilion bagi projek-projek berkaitan.

“Projek-projek tersebut adalah Projek Pembangunan Depoh Lori dan Pelepasan Dalaman oleh syarikat PKT Logistik Sdn Bhd (PKT) pada Disember 2019; Projek Pembangunan Kompleks Kilang Sarung Tangan Nitril Bersepadu oleh syarikat Hartalega Bhd (Hartalega) pada Mac 2021 dan Projek Ibusawat Pertukaran Internet (IX) dan Pusat Data pada Disember 2021,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Yamani Hafez, projek pembangunan hartanah di SBEZ di Bukit Kayu Hitam, Kedah, yang meliputi kawasan seluas hampir 11,800 ekar, adalah inisiatif berimpak tinggi yang dirancang bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Penglibatan secara langsung pihak Kementerian Kewangan dalam projek pembangunan SBEZ Bukit Kayu Hitam ini adalah melalui entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu Northern Gateway Sdn Bhd (NGX) selaku pemaju utama projek pembangunan hartanah DELAPAN (atau dahulunya dikenali sebagai Kota Perdana).

“Ini meliputi kawasan seluas 4,400 ekar atau 38 peratus daripada jumlah keluasan SBEZ Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wira Othman Aziz mengenai status terkini SBEZ di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan sama ada kerajaan berhasrat meneruskan pembangunan di kawasan tersebut seperti dalam perancangan asal.


(FOTO FAIL)