Wednesday, 28 September 2022

Pertumbuhan suku kedua KDNK yang cemerlang didorong pelaburan berimpak tinggi

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus, bukti kejayaan kerajaan menarik pelaburan berimpak tinggi.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dasar progresif dan mesra pelabur yang dipraktikkan berjaya meyakinkan pelabur bahawa Malaysia destinasi yang boleh menyediakan ekosistem perniagaan kondusif.

"Dan ini terbukti apabila dasar-dasar ini telah pun diterjemahkan dalam bentuk tindakan semenjak 2 tahun yang lalu.

"Walaupun negara menghadapi krisis kesihatan yang begitu parah, namun pada tahun 2021 sahaja nilai pelaburan negara telah meningkat kepada RM309.4 billion," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran 'Academy in Factory (AIF)' sempena Karnival Belia Produktif anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia, MPC, di sini hari ini.

(Mohamed Azmin Ali)

Menurut Mohamed Azmin, bagi memastikan Malaysia kekal destinasi pelaburan terpilih serta meningkatkan daya saing industri tempatan, pihaknya akan menumpukan beberapa fokus utama.

Ini termasuk perdagangan dan pembangunan mampan, kelangsungan rantaian bekalan serta pembangunan tenaga mahir termasuk melalui peningkatan penggunaan teknologi dan inovasi.