Wednesday, 28 September 2022

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 8.9%, suku kedua 2022

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 susulan permintaan domestik yang kukuh, disokong pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.

Bank Negara Malaysia (BNM) menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal, apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk Elektrik dan elektronik.

(Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus)

"Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan.

"Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatat peningkatan 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama 2022," kata Nor Shamsiah di sini.

BNM masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi tahun ini.

Meskipun permintaan luaran mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi negara akan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih.

Selain itu, ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan.