Wednesday, 28 September 2022

Kerajaan salur RM20.932 bilion bagi program subsidi upah - Tengku Zafrul

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Ogos- Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.932 bilion kepada 357,907 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 22 Julai 2022 untuk mengekalkan penggajian seramai 2.96 juta pekerja tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata usaha itu juga bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata menerusi PSU 1.0, sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan mencecah nilai RM12.958 bilion, setakat 22 Julai lepas.

Bagi PSU 2.0 pula, sejumlah RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,165 majikan agar terus beroperasi dan mengekalkan penggajian sebanyak 719,185 pekerja.

“Di bawah PSU 3.0 setakat tempoh sama, sebanyak RM3.776 bilion telah disalurkan kepada 162,317 majikan untuk mengekalkan penggajian 1.53 juta pekerja.

“Malah, PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan,” kata beliau dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-106 yang dikeluarkan hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata bagi PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sebanyak RM2.58 bilion disalurkan kepada 163,942 majikan agar terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1.92 juta pekerja setakat 22 Julai, 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Beliau berkata, bagi PSU 5.0, sebanyak RM215.44 juta telah disalurkan kepada 7,999 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 121,907 pekerja.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata sebanyak 92 syarikat telah memohon untuk Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) dengan jumlah jaminan yang telah diluluskan berjumlah RM2.095 bilion bagi 62 buah syarikat bagi tempoh setakat 29 Julai, 2022.

“Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan atau yang ditambah baik bagi memberi bantuan serta menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sedehana (PKS) sebanyak RM4.5 bilion.

“Penambahan ini meningkatkan lagi jumlah dana yang tersedia pada pertengahan September 2021 kepada RM11.2 bilion,” kata beliau. -BERNAMA