Wednesday, 28 September 2022

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar hari ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini dalam persekitaran sentimen bercampur-campur serta penyusutan harga minyak mentah ke paras bawah US$100 setong, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit turun kepada 4.4555/4590 berbanding dolar AS daripada paras 4.4548/4589 pada akhir urus niaga semalam.

Setakat pagi ini, minyak penanda aras global Brent susut 0.20 peratus kepada US$96.12 setong.

Menurut penganalisis itu, ringgit dijangka terus berdepan tekanan susulan kebimbangan pertumbuhan global, persekitaran kewangan lebih ketat serta langkah Bank Negara Malaysia dalam kenaikan kadar faedah.

Selain itu, MIDF Research menerusi nota tinjauannya hari ini berkata ringgit kekal dinilai lebih rendah berdasarkan kadar pertukaran efektif sebenar dan sebaliknya berkemungkinan mengukuh ke paras RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

“Memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka bertindak memperlahankan langkah memperketat dasar menjelang akhir tahun, kami berpendapat bahawa sokongan terhadap dolar AS akan terus berkurangan.

“Berikutan itu, pergerakan dalam pasaran kewangan tidak banyak memberi kesan terhadap pasaran mata wang negara sedang pesat membangun,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit misalnya naik berbanding yen Jepun kepada 3.2957/2986 daripada 3.2976/3022 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.5482/5517 daripada 4.5610/5677, semalam.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2303/2333 daripada 3.2352/2383 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3773/3816 daripada 5.3969/4005, semalam.- BERNAMA


(Foto Fail/BERNAMA)