Wednesday, 28 September 2022

Minat belian diperbaharui dorong ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Minat belian diperbaharui dalam kalangan pelabur mendorong nilai ringgit dbuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.455/459 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin  4.4570/4600.

Bagaimanapun, penganalisis itu berkata prestasi positif ringgit bagi sesi pagi dihadkan oleh kejatuhan harga minyak mentah apabila penanda aras minyak mentah Brent merosot sebanyak 0.41 peratus kepada US$96.25 setong.

Beliau berkata dolar AS diunjurkan untuk mengukuh sekiranya angka inflasi terus meruncing dan ini sebaliknya mencetuskan jangkaan bahawa kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan berubah agresif pada bulan September.

(Foto hiasan)

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2301/2333 daripada penutup Isnin pada 3.2309/2333, mengukuh berbanding pound Britain pada 5.3803/3865 daripada 5.3872/3908 dan meningkat berbanding euro pada 4.5401/5446 daripada 4.5408/5438 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit telah menyusut nilai berbanding yen Jepun pada 3.3027/3069 daripada 3.3010/3035 semalam.- BERNAMA