Wednesday, 28 September 2022

Industri getah negara perlu pelan tindakan, tepis tuduhan buruh paksa

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- lebih 60% daripada 71,800 pekerja dalam industri getah melibatkan tenaga buruh asing, menurut unjuran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraidah Kamaruddin berkata, kebergantungan industri itu pada penggunaan tenaga buruh asing memerlukan pelan tindakan bagi menepis isu tuduhan buruh paksa yang menjejaskan eksport produk hiliran berasaskan getah negara.

Sehubungan itu katanya, Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan memperkenalkan panduan berkaitan buruh kepada majikan dalam industri getah.

(Datuk Zuraidah Kamaruddin dalam sidang media selepas majlis pelancaran Panduan Praktikal
Mengenai Buruh Paksa Untuk Industri Getah Malaysia)

"Saya minta peranan ILO bukan sahaja untuk mengeluarkan garis panduan dari segi bagaimana nak mengelakkan kita dituduh sebagai mengamalkan buruh paksa, perkara-perkara yang harus mereka lihat ialah kaedah melaksanakannya. ILO ini, kita dah ratifikasi, jadi bila sesuatu syarikat dikekang daripada mengeksport barang ke Amerika Syarikat dan ke Kesatuan Eropah, syarikat-syarikat tersebut dituduh mengamalkan 'buruh paksa," kata Zuraidah selepas majlis pelancaran Panduan Praktikal Mengenai Buruh Paksa Untuk Industri Getah Malaysia di ibu negara.

RM71 bilion direkodkan hasil pengeluaran eksport getah pada tahun 2021 meletakkan industri itu antara penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negara.