Wednesday, 28 September 2022

Pakar jangka ekonomi negara terus catat momentum pertumbuhan positif bagi suku kedua tahun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Ekonomi negara dijangka meneruskan momentum pertumbuhan positif bagi suku kedua tahun ini.

Ketua Ekonomi CGS-CIMB Securities, Nazmi Idrus berkata, pertumbuhan bagi tempoh berkenaan dipacu perkembangan ekonomi domestik yang kembali rancak sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Pihaknya mengunjurkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua pada 6.7 peratus.

"Ia disebabkan oleh beberapa faktor, pertama kita telah memasuki tempoh peralihan ke fasa endemik pada bulan April dan ini menyaksikan lebih banyak kelonggaran ekonomi dan sosial serta membolehkan rakyat kembali ke kehidupan yang lebih normal.

Kedua, banyak bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan, yang paling utama ialah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 dan ini telah membantu perbelanjaan pengguna," katanya.

(Nazmi Idrus, Ketua Ekonomi CGS-CIMB Securities)

Tambah beliau, meski kadar inflasi semakin meningkat, namun ia masih belum dapat mengekang momentum perbelanjaan pengguna.

Bagi suku pertama tahun ini, negara mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 5 peratus disokong permintaan domestik yang bertambah baik.

Prestasi bagi suku kedua dijadual akan diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), minggu hadapan.