Wednesday, 28 September 2022

Perkasa sektor pertanian, kurangkan kebergantungan barangan import

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Sektor pertanian perlu diperkasakan secara menyeluruh bagi membolehkan kebergantungan barangan import dapat dikurangkan.

Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Rohami Shafie berkata langkah proatif ini mampu mengurangkan kenaikan harga barangan secara tidak terkawal.

Menurutnya, memperkasakan sektor tersebut juga mampu memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi.

Sekali gus harga barangan dapat dikawal sepenuhnya.

"Perlu diingat bahawa apabila sektor pertanian dihidupkan semula secara besar-besaran, barangan import terutama barangan pertanian akan dapat dikurangkan kebergantungan.

"Sekali gus barangan pertanian di negara ini berada dalam keadaan yang mencukupi, pada masa sama kos untuk rakyat membeli barangan pertanian boleh diminimumkan.

"Dalam konteks ini jaminan makanan akan lebih diperkasakan demi masa depan rakyat," katanya kepada RTM.

(Pemerkasaan sektor pertanian juga mampu memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi)

Perkara sama turut dikongsi Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Jelasnya, sikap peniaga yang mengambil kesempatan meraih keuntungan berlebihan juga harus dibanteras.

"Walaupun kita tahu kadang-kadang mengapa alasan peniaga menaikkan harga ini bahawa kos operasi mereka juga meningkat, tetapi menaikkan harga sesuka hati melanggar peraturan ataupun kawalan yang ditetapkan itu tidak patut.

"Sepatutnya setiap pihak harus duduk semeja untuk berbincang bagaimana masalah ini dapat ditangani tanpa membebankan pengguna," jelas beliau.