Wednesday, 28 September 2022

Kerajaan sasar RM15 bilion nilai jualan syarikat francais

  • Published in Ekonomi

(Rosol pada Majlis Penjenamaan Semula Francais NY Steak Shack (NYSS) di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 6 Ogos- Kerajaan menyasarkan untuk mencapai RM15 bilion dalam peningkatan nilai jualan syarikat francais tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF) 2020, nilai jualan syarikat francais meningkat kepada RM14.6 bilion berbanding RM13.3 bilion pada 2019, iaitu peningkatan sebanyak 9.7 peratus.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 1,137 syarikat francais telah didaftarkan di KPDNHEP dan kira-kira 36 peratus daripadanya adalah dalam segmen makanan dan minuman.

Sejumlah 68 syarikat francais tempatan pula telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan kini berada di 70 buah negara.

"Untuk tahun 2022 sebanyak 2.4 juta geran telah diberi matching geran manakala 14 permohonan geran penuh bernilai RM1.4 juta, itu peruntukan yang telah diberi untuk kita, untuk tahun 2022 ini dan untuk bajet tahun depan kita pohon lagi.

"Setakat ini kita dapati sambutan daripada mereka yang brminat dalam francais ini amat memberangsangkan jadi kita berharap kerajaan boleh pertimbang untuk peruntukan lebih lagi kerana bukan sahaja kita beri geran, kita juga memantau perjalanan perniagaan mereka dan pemantauan itu dibuat secara berterusan sehingga mereka berjaya menjadi francais di negara kita," katanya.

(Rosol Wahid)

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Francais NY Steak Shack (NYSS), di sini hari ini.

Tambah Rosol, KPDNHEP juga giat mengembangkan jenama francais tempatan di persada antarabangsa.

Ia menerusi misi perdagangan ke luar negara antaranya Arab Saudi, Mesir dan Indonesia setakat tahun ini.