Wednesday, 28 September 2022

Penetapan harga minyak masak melalui sistem dua 'peringkat', penyelesaian terbaik - Pakar

  • Published in Ekonomi

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Kajian mengenai mekanisme penetapan harga minyak masak melalui sistem dua 'peringkat' bagi minyak domestik dan eksport merupakan penyelesaian terbaik dan sewajarnya dilaksanakan oleh kerajaan, demikian pandangan penganalisis ekonomi, Faiz Azmi.

Beliau berkata mekanisme tersebut akan mengenal pasti status harga minyak masak sama ada berlaku kenaikan yang tinggi, naik mendadak atau pada stabil.

Menurut beliau, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalankan kajian itu berpandukan data-data semasa berkaitan harga minyak masak bagi membolehkan kerajaan mencari penyelesaian terbaik dalam usaha membantu rakyat.

(Faiz menyatakan penetapan harga minyak masak melalui sistem dua 'peringkat',
penyelesaian terbaik)

"Satu, kita akan mengenakan cukai terhadap minyak masak yang akan dieksport. Ini dilakukan oleh negara jiran kita sebab mereka punya minyak sawit mentah (CPO) tu perlu digunakan, Mereka mahu gunakan CPO tersebut di dalam negara mereka sendiri. Dia hendak tinggikan nilai mereka, barulah mereka eksport. Malaysia boleh ambil langkah itu tetapi tidak akan membantu rakyat dari segi harga minyak masak di Malaysia rendah, mereka akan meninggikan harga eksport.

"Cara lagi satu adalah dengan mengenakan subsidi lagi sekali kepada harga minyak masak yang dijual secara domestik. Jadinya, isu subsidi yang selama ini kita ada tetap akan muncul lagi. Harga minyak masak yang disubsidikan itu dijual di Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran. Memang akan ada golongan tak kisah sama ada secara besar-besaran, secara kumpulan ataupun secara individu yang akan membeli minyak masak dan di eksport ke negara mereka sendiri untuk kegunaan sendiri," kata Faiz ketika ditemui di sini.

Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Inflasi, Tan Sri Annuar Musa meminta MPOB menjalankan kajian berhubung kebolehlaksanaan penetapan harga melalui sistem dua peringkat bagi minyak masak kegunaan domestik dan eksport memandangkan produk tersebut ketika ini ditentukan melalui sistem satu harga.