Wednesday, 28 September 2022

Dagangan sulung Unique Fire Holdings Bhd di pasaran ACE Bursa Malaysia, perkukuh kedudukan di pasaran serantau

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Unique Fire Holdings Bhd memulakan dagangan sulungnya di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 sen sesaham,  lima sen lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan, IPO iaitu 26 sen.

Saham syarikat pengeluar, pemasang dan pengedar sistem perlindungan kebakaran itu menyaksikan RM5.41 juta saham diniagakan ketika dagangan dibuka.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Marcus Liew berkata, syarikat berhasrat membelanjakan sebahagian besar dari RM21.78 juta dana yang diraih untuk meningkatkan pengeluaran syarikat dan pengembangan keupayaan operasi dan modal kerja.

"Dengan hasil kami, kami akan wujudkan lagi dua barisan pengembangan pemadam api yang mendorong pengeluaran. Dengan dua barisan pengembangan ini, kami yakin dapat menjana penambahan lagi 470 ribu pemadam api tahun ini," katanya.


(Pengarah Eksekutif Unique Fire Holdings Bhd, Datuk Marcus Liew)

Bercakap pada sidang majlis penyenaraian Unique Fire di Bursa Malaysia, jelasnya saham syarikat berkenaan disenaraikan di bawah sektor Produk dan Perkhidmatan Perindustrian.

Beliau yakin potensi perniagaan dapat dioptimumkan sekaligus meletakkan syarikat sebagai jenama peralatan perlindungan kebakaran pilihan di rantau ini.