Friday, 19 August 2022

Subsidi terbesar, bukti kebajikan rakyat jadi keutamaan - Tokpa

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 27 Jun - Unjuran subsidi sehingga hampir RM80 bilion dibuat bagi menstabilkan harga barang dan mengelak kadar inflasi melonjak sehingga 11.4 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jumlah subsidi terbesar dalam sejarah itu bakal mempengaruhi kedudukan kewangan negara namun kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan.

Justeru katanya, masyarakat tidak perlu bimbang kerana langkah penjimatan sesuai dilaksana bagi memastikan kedudukan kewangan kekal kukuh.

Ini termasuk mempertimbang penangguhan pelaksanaan projek mega.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed)

"Setakat ini kita perlu lihat, kita tgk keadaan macam mana, jadi itu antara langkah-langkah yang boleh diambil, bukan kata kita buat keputusan.

"Maka, untuk memastikan kedudukan kewangan kita kekal teguh maka antara langkah yang boleh dikaji kerajaan ialah untuk mengadakan penjimatan dalam belanja mengurus dan belanja pembangunan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse 2.0 (StatsDW), di sini.

StatsDW 2.0 adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada StatsDW yang dilancarkan pada 2016, iaitu satu solusi bagi menampung limpahan data dari pelbagai sumber selain menggalakkan perkongsian data antara agensi sektor awam.