Friday, 19 August 2022

Bayaran BKM Fasa 2 bermula hari ini, sebanyak RM1.74 bilion diperuntukkan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Bayaran bagi Bantuan Keluarga Malaysia, (BKM) Fasa 2 bermula secara berperingkat hari ini. Bantuan tunai langsung itu memperuntukkan RM1.74 bilion dengan memanfaatkan 8.6 juta penerima. Ini merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas bujang atau tiada pasangan dan 3.4 juta individu bujang.

BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta. Penerima boleh membuat semakan status pembayaran melalui portal BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.


(Pembayaran BKM Fasa 2 secara berperingkat bermula hari ini)

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Kadar maksimum BKM berjumlah RM2,600 berbanding BR1M RM1,200 dan BSH RM1,480. Ini melibatkan peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan. Penerima BKM seramai 8.6 juta berbanding BSH, 4.5 juta penerima. Had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada pendapatan RM4,000 ke bawah sebulan kepada RM5,000 ke bawah sebulan." katanya.

Ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima bantuan, termasuk sebahagian golongan M40, tidak terhad kepada golongan B40 seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

Secara keseluruhan, menurut Tengku Zafrul ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah dengan bantuan mencecah sebanyak RM8.0 bilion, memanfaatkan 12.6 juta individu, bersamaan 60 peratus populasi dewasa di negara ini.