Friday, 19 August 2022

Jumlah subsidi negara 2022 dijangka hampiri RM80 bilion - Zafrul

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion tahun ini yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan telah memberi pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

"Secara keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

"Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi 2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah," katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-100.

(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tetap melaksanakan dasar yang secara amnya bertujuan untuk membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak, dan pada masa yang sama membantu golongan yang perlu dari segi bantuan langsung.

Katanya, dasar tersebut dilihat telah menghasilkan satu situasi yang dikira terkawal, terutamanya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.

"Kajian penamatan subsidi menyeluruh dan penyaluran semula penjimatan tersebut kepada golongan yang benar-benar memerlukan adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Tambah Zafrul, penamatan subsidi menyeluruh mencerminkan sikap adil dan bertanggungjawab kerajaan bagi memastikan nasib golongan B40 terbela.

Katanya, MOF juga sedang mengkaji semula sumber-sumber fiskal negara yang perlu diperkukuh, untuk membina daya tahan sosioekonomi negara terutama bagi golongan B40 dan M40.

Langkah tersebut katanya, bertujuan mengurangkan beban keberhutangan generasi masa hadapan.