Logo

Subsidi RM77.3 bilion bagi tahun 2022, tertinggi dalam sejarah bagi kos sara hidup rakyat

(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/Foto fail)

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun 2022.

Angka itu menunjukkan jumlah subsidi tahun ini paling tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik dari tahun 2018 hingga 2022.

Selain itu, ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM11.7 bilion dan lain-lain subsidi, RM14.6 bilion.


(Foto fail)

"Ini juga mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini berhubung Bantuan tunai tambahan, RM630 juta yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun 2022.

"Seterusnya, subsidi elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai 2022," kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Tengku Datuk Seri Zafrul turut memaklumkan,golongan M40 dan T20 juga tidak terkecuali dan mendapat manfaat yang besar melalui subsidi menyeluruh meliputi petrol, diesel, air dan elektrik.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.