Friday, 19 August 2022

KWSP diyakini mampu kekal kadar dividen kompetitif disokong strategi kukuh SAA - Penganalisis

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu mengekalkan kadar dividen kompetitif dalam iklim pelaburan yang mencabar ketika ini.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan pendekatan kepelbagaian portfolio global, berpandukan Alokasi Aset Strategis (SAA) berupaya mengoptimumkan pulangan pelaburan pengurusan dana persaraan itu.

Pada masa sama, strategi kukuh di bawah SAA akan turut menyokong prestasi pendapatan pelaburan KWSP untuk suku seterusnya.

(Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff)

"Kalau kita bercakap tentang pulangan, kita lihat pulangan untuk 2021, untuk konvensional lebih kurang 6.1% tetapi saya melihat untuk tahun ini disebabkan faktor-faktor yang sedang berlaku di peringkat global, maka saya melihat kemungkinan konvensional mungkin akan memberi pulangan di bawah 6% dan caruman syariah mungkin sekitar 5 hingga 5.5%," katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin turut berpandangan SAA yang merupakan rangka kerja bagi tempoh tiga tahun itu juga bertujuan memastikan objektif KWSP untuk terus memelihara dan meningkatkan simpanan ahli tercapai, demi kehidupan pasca persaraan lebih baik.

(Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin)

"Menuju ke hadapan, saya melihat ada beberapa 'silver lining' terutamanya kalau kita lihat prestasi ekonomi Malyasia pada ketika ini tidak begitu terkesan dan kita melihat bahawa pembukaan sektor-sektor ekonomi, sektor sosial juga akan memberikan momentum positif kepada ekonomi kita.

"Jadi fokus menuju ke hadapan saya lihat perlulah kepada prospek pertumbuhan dan juga memulihkan kembali simpanan-simpanan pencarum di KWSP," katanya.

KWSP sebelum ini mengumumkan pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 susut daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2021, berikutan kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.