Friday, 19 August 2022

Kekal kadar tarif elektrik, air dan ayam wajar, elak kenaikan harga secara mendadak

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik dan air serta pelaksanaan harga siling bagi ayam, dilihat wajar bagi tempoh jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dr. Zokhri Idris berpendapat langkah tersebut dapat mengelakkan berlakunya peningkatan harga secara mendadak di pasaran.

(Kenaikan harga barang ketika ini tidak dapat dielakkan dan telah
menjadi fenomena di seluruh dunia - Dr. Zokhri Idris)

"Pertama dalam jangka masa pendek tidak dinafikan keputusan ini mengurangkan kebimbangan dan kegelisahan disebabkan berlakunya peningkatan harga secara mendadak dan drastik. Peningkatan yang drastik dan dramatik ini sebenarnya akan mengakibatkan sosio ekonomi rakyat terjejas," katanya.

Bagaimanapun, jelas Zokhri kenaikan harga barang ketika ini tidak dapat dielakkan dan telah menjadi fenomena di seluruh dunia.

Katanya, pemberian subsidi dalam jangka masa panjang akan memberi risiko kepada pertumbuhan negara dan tidak efisyen dari perspektif ekonomi.

(Kerajaan bersama badan pemikir perlu mencari penyelesaian jangka
panjang bagi menstabilkan harga makanan - Dr. Zokhri Idris)

"Dalam jangka masa panjang, saya ingin mengingatkan bahawa keberlangsungan ekonomi negara itu bukan saja bergantung kepada sentimen atau perasaan kegembiraan atau kegelisahan individu-individu tertentu untuk memastikan ekonomi kita mampan dan seimbang.

"Perlunya strategi-strategi untuk polisi dan juga pengawalan harga agar harga makanan ini dapat distabilkan dengan keadaan yang selesa dan baik," katanya.

Tambah Zokhri, kerajaan bersama badan pemikir perlu mencari penyelesaian jangka panjang bagi menstabilkan harga makanan.