Friday, 19 August 2022

Anugerah E50 usaha cergaskan PKS di tengah-tengah pandemik - SME Corp

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Jun - SME Corporation Malaysia (SME Corp) menganjurkan Enterprise 50 (E50), program anugerah tahunan yang berfungsi sebagai pengukur penting untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menanda aras prestasi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy berkata anugerah E50 adalah berdasarkan penilaian yang boleh dipercayai, saksama dan ketat yang dijalankan oleh pemain dan pakar industri bebas.

“Anugerah itu penting dalam pembangunan PKS di Malaysia, terutamanya dari segi pembinaan kapasiti, kewangan serta rangkaian perniagaan di arena domestik dan antarabangsa.

“Sehingga kini, kami telah menyaksikan kelahiran 725 pemenang anugerah E50 yang turut mengembangkan pasaran mereka di dalam dan luar negara,” kata Rizal dalam satu kenyataan hari ini.


(Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy)

SME Corp akan terus menyokong alumni E50 serta ahli berpotensi kumpulan itu, tambahnya.

Penerima anugerah berpeluang untuk meningkatkan perniagaan mereka ke tahap baharu, dengan menjadi sebahagian daripada "kelab E50" eksklusif dan membolehkan mereka menikmati faedah lain termasuk penyertaan di bengkel dan forum antarabangsa atas jemputan SME Corp dan hubungan perniagaan pilihan dengan syarikat multinasional.

Proses pencalonan bermula pada 1 Mac 2022 dan pemenang akan diumumkan pada November 2022.

Bagi melayakkan sebagai calon anugerah, syarikat mesti memenuhi kriteria termasuk memenuhi definisi PKS dan diperbadankan secara tempatan dengan sekurang-kurangnya 40 peratus ekuiti tempatan; tidak disenaraikan di Bursa Malaysia dan dinilai empat bintang dan ke atas daripada SCORE (Peningkatan Penarafan Daya Saing PKS) oleh SME Corp, serta tiga tahun rekod kewangan yang telah diaudit.

Layari www.e50.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program anugerah. -BERNAMA