Saturday, 25 June 2022

MAS kaji semula surcaj bahan api

  • Published in Ekonomi

PETALING JAYA, 22 Jun- Malaysia Airlines Berhad sedang mengkaji semula surcaj bahan api yang dikenakan ketika ini, bagi mengimbangi kenaikan harga bahan api yang melepasi AS$130 setong.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Kumpulannya, Lau Yin May berkata, perang Rusia-Ukraine telah mencetuskan krisis harga minyak dunia dan kenaikan mendadak berbanding ramalan awal AS$88 setong.

Jelasnya, kadar surcaj bahan api yang dikenakan dalam kalangan negara Asean ketika ini serendah AS$8 sejak beberapa bulan lalu.

"Kami melihat hampir berganda daripada apa yang kami ramalkan tahun lepas dan ini memberi kesan dan mengurangkan prestasi syarikat kami.

"Kami terus membuat semakan sama ada surcaj bahan api ini akan ditingkatkan lagi atau sebaliknya,"kata Lau Yin May.

Syarikat katanya, perlu kekal kompetitif dan pada masa sama harus mengambilkira kemampuan pengguna untuk memastikan tiket penerbangan masih mampu milik.

Pihak penerbangan itu juga sentiasa memberi penekanan kepada nilai dan perkhidmatan terbaik agar tidak membebankan pelanggan.

Beliau berkata demikian dalam pelancaran video keselamatan dalam penerbangan Malaysia Airlines di Selangor.


(Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May pada pelancaran video keselamatan dalam penerbangan Malaysia Airlines di Petaling Jaya )