Saturday, 25 June 2022

Tidak lanjut insentif pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang, langkah wajar - Pakar

  • Published in Ekonomi

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 22 Jun - Keputusan kerajaan tidak melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang yang diumumkan adalah satu langkah wajar.

Tempoh sembilan bulan yang diberikan selepas pengecualian berakhir 30 Jun ini, untuk mendaftar kenderaan dibeli dalam tempoh insentif, disifatkan mencukupi untuk pengeluar memenuhi pesanan yang tertunggak.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri yakin biar pun dibelenggu masalah kekurangan cip global selain penamatan insentif cukai, industri automotif tempatan akan terus menunjukkan momentum pertumbuhan.

"Saya kira trend pembelian kenderaan masih diteruskan selepas ini kerana kita masih ada pelancaran beberapa model penting tahun ini juga, model baharu ini saya kira akan menambah keterujaan dalam industri, jadi orang Malaysia akan terus membeli kenderaan selagi pihak perbankan memberi bantuan kewangan," kata beliau.


(Foto fail)

Hezeri turut menyarankan pihak industri dan kerajaan melipat ganda usaha memperluas pasaran automotif untuk tujuan eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik.

Sementara itu penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan pengumuman kerajaan itu sebagai situasi menang-menang.

Selain memanfaatkan pembeli dan industri automotif, tiba masa untuk kerajaan meningkatkan kembali hasil cukai negara bagi tujuan pembangunan pasca pandemik.

"Kerajaan telah pun menyokong industri automotif dengan kehilangan RM4.8 bilion sewaktu pelaksanaannya (pengecualian cukai). Kerajaan memerlukan kembali pendapatan bercukai untuk membangunkan atau menjana sektor ekonomi negara yang lain," menurut beliau.