Saturday, 25 June 2022

KWSP catat pendapatan pelaburan RM15.85 bilion

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 susut daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kemerosotan ketara dalam pasaran dunia telah menjejaskan prestasi pendapatan pelaburan yang bermula kukuh pada awal suku pertama menyebabkan pulangan lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku pertama.

"Penurunan ini disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik serta kesan kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah.

"Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas ekoran krisis pandemik," katanya menerusi kenyataan.

(FOTO FAIL)

Beliau berkata, KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP, terjejas akibat kelembapan pasaran.

Katanya, bagi suku pertama, ekuiti menyumbang RM10.46 bilion, iaitu 66 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

"Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut," katanya.

Datuk Seri Amir turut memaklumkan, instrumen pendapatan tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion atau 30 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar.

Portfolio hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion daripada RM0.71 bilion bagi tempoh yang sama.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula mencatatkan RM0.28 bilion berbanding dengan RM0.38 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2021.

KWSP menjelaskan sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.