Saturday, 25 June 2022

Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat pada Mei

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat pada Mei dengan keseluruhan jualan berdaftar sebanyak 26,480 unit.

Prestasi didorong jualan yang baik daripada kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, Perodua walaupun tempoh hari bekerja singkat berikutan cuti Hari Raya.

(Foto hiasan)

UMWT mencatat jualan 7,579 unit kenderan.

Bagi tempoh lima bulan pertama, syarikat berkenaan telah mencapai 51 peratus dari sasaran jualan berjumlah 73,000 unit tahun ini.

Sementara itu, Perodua yang merekodkan jualan 18,901 unit kenderaan, mencapai 43 peratus daripada sasaran jualan sebanyak 247,800 unit bagi tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam kenyataan berkata, pengenalan model baharu dan kemaskini dijangka dapat memacu kadar jualan kenderaan pada tempoh separuh kedua.

Pihaknya juga berharap pengecualian cukai jualan dilanjutkan kerajaan memandangkan pesanan tertunggak yang tinggi disebabkan gangguan wabak COVID-19 serta kekurangan cip semikonduktor.