Saturday, 25 June 2022

IATA gesa kerajaan sokong matlamat penyahkarbonan penerbangan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan di seluruh dunia supaya menyuarakan komitmen untuk mengamalkan Matlamat Aspirasi Jangka Panjang bagi menyahkarbonkan penerbangan pada Perhimpunan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kali ke-41 tahun ini.

Seruan itu dibuat oleh IATA semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) IATA kali ke-78 dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia yang diadakan di Doha, Qatar pada 19 hingga 21 Jun, 2022.

Perhimpunan ICAO kali ke-41 akan diadakan di Montréal, Kanada pada 27 Sept hingga 7 Okt, 2022.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata penyahkarbonan ekonomi global memerlukan pelaburan merentas negara dan dekad, khususnya dalam peralihan daripada bahan api fosil.

“Kestabilan dasar amat penting dan apabila kita bergerak daripada komitmen kepada tindakan, penting untuk industri ini disokong oleh kerajaan dengan dasar yang menumpukan kepada matlamat penyahkarbonan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mencapai pelepasan sifar bersih juga akan menjadi satu cabaran besar.

“Skala industri yang diunjurkan bagi 2050 memerlukan pengurangan 1.8 giga tan karbon. Pencapaian itu akan memerluan pelaburan merentas rantaian nilai yang mencecah trilion dolar.

“Pelaburan yang amat besar itu mesti disokong oleh dasar kerajaan yang konsisten di peringkat global yang membantu pelaksanaan aspirasi penyahkarbonan, mengambil kira perbezaan tahap pembangunan dan tidak mengganggu persaingan,” katanya.

Walsh berkata syarikat penerbangan sedang merangka laluan ke arah komitmen industri untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada 2050 seiring dengan matlamat 1.5°C yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris.

Data daripada kaji selidik IATA baru-baru ini menunjukkan penambahbaikan kesan alam sekitar oleh syarikat penerbangan dilihat sebagai keutamaan pascapandemik bagi penumpang.

“Kira-kira 73 peratus individu yang ditinjau mahu industri penerbangan menumpukan kepada usaha mengurangkan kesan iklimnya apabila industri kembali bangkit daripada krisis COVID-19,” katanya.

Dua pertiga daripada mereka yang ditinjau juga percaya pencukaian ke atas industri tidak akan mempercepat pencapaian sifar bersih, selain menyatakan kebimbangan sekiranya wang yang dikutip itu tidak diperuntukkan untuk projek penyahkarbonan.

Sementara itu, semasa AGM, IATA mengumumkan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Pegasus Airlines, Mehmet Tevfik Nane memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola IATA untuk tempoh satu tahun, berkuat kuasa mulai penutupan AGM IATA kali ke-78 di Doha, Qatar pada 21 Jun, 2022.- BERNAMA


(Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh)