Saturday, 25 June 2022

Bursa Malaysia ditutup rendah hari kedua berturut-turut

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut hari ini dengan indeks komposit penanda aras merosot 1.06 peratus berikutan tekanan jualan yang tinggi, terutamanya dalam saham tenaga, teknologi dan perladangan, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks barometer turun 15.50 mata kepada 1,441.24 berbanding 1,456.74 pada Jumaat.

Indeks penanda aras yang dibuka rendah 2.34 mata kepada 1,454.40, bergerak antara 1,437.23 dan 1,454.40 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 747 berbanding 200, manakala 351 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.62 bilion unit bernilai RM1.69 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM3.02 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, di peringkat serantau, indeks utama ditutup bercampur-campur berikutan kebimbangan pelabur mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan akibat dasar monetari yang diketatkan daripada bank pusat utama.

“Di pasaran domestik, pasaran tempatan dilihat mengalami banyak tekanan jualan daripada dana asing,” katanya.

(Foto hiasan)

Beliau menambah, Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI akan mengalami trend julat yang lebih luas pada 1,435-1,465 bagi minggu berkenaan dengan sokongan segera pada 1,435 dan rintangan pada 1,490 berikutan ketidakstabilan yang semakin meningkat

Bagi saham wajaran tinggi bursa menyaksikan Maybank susut 23 sen kepada RM8.65, MISC Bhd turun 21 sen kepada RM7.18, Press Metal Aluminium berkurangan 11 sen kepada RM4.59, TNB jatuh 17 sen kepada RM8.13 dan Public Bank merosot enam sen kepada RM4.43.

Bagi saham aktif, SFP Tech meraih 37 sen kepada 67 sen, Cypark Resources menambah tiga sen kepada 37 sen, manakala Dagang NeXchange susut 4.5 sen kepada 76.5 sen, Sapura Energy menguncup setengah sen kepada 4.0 sen dan MNC Wireless tidak berubah pada 1.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 135.64 mata kepada 10,262.23, Indeks FBM Emas Syariah susut 121.45 mata kepada 10,405.04, FBM 70 turun 250.55 mata kepada 12,363.86, Indeks FBMT 100 menguncup 130.02 mata kepada 10,006.99, manakala FBM ACE merosot 96.42 mata kepada 4,737.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 260.86 mata kepada 16,044.98, Indeks Perladangan jatuh 103.73 mata kepada 7,114.50 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.83 mata kepada 183.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.43 bilion saham bernilai RM1.28 bilion daripada 2.21 bilion saham bernilai RM2.83 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 389.81 juta unit bernilai RM88.63 juta berbanding 482.55 juta unit bernilai RM95.77 juta pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 801.26 juta saham bernilai RM320.01 juta daripada 362.23 juta saham bernilai RM93.03 juta sebelum ini.

Kaunter perkhidmatan dan produk pengguna menyumbang sejumlah 178.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (417.67 juta), pembinaan (46.20 juta), teknologi (244.90 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.39 juta), hartanah (76.33 juta), perladangan (32.89 juta), REIT (6.11 juta), dana/tertutup (21,000), tenaga (267.29 juta), penjagaan kesihatan (51.75 juta), telekomunikasi dan media (15.49 juta), pengangkutan dan logistik (27.78 juta) serta utiliti (14.11 juta). -BERNAMA