Monday, 27 June 2022

Usaha galak DDI perlu dibuat secara agresif

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Mei - Usaha menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) perlu dibuat secara agresif, sama seperti yang dilakukan bagi inisiatif merancakkan pelaburan langsung asing (FDI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedua-dua aspek itu amat penting dan saling melengkapi dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed)

Bagi mengimbangi sumbangan DDI dan FDI, kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan sektor swasta ke arah mewujudkan persekitaran perniagaan mesra pelabur asing dan domestik.

Ini termasuk mengadakan libat urus dan perbincangan terbuka bagi mendapatkan maklum balas daripada komuniti perniagaan serta pelaburan.

"Kerajaan menyedari keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

"Matlamatnya adalah untuk pelaburan swasta meningkat sebanyak 3.8 peratus setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berbanding 1.2 peratus setahun dalam RMK-11", katanya.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut, kerajaan sedang berusaha mengembangkan dan melaksanakan dasar yang membolehkan negara merealisasikan potensi ekonomi dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

Menurutnya, pelaburan swasta penting untuk memacu ekonomi yang mampan pasca-COVID-19.

Beliau berucap pada forum 'Bagaimana Merancakkan Semula Pelaburan Langsung Domestik' anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) secara maya.

Katanya, NCCIM telah mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkasa pelaburan domestik dan Majlis Tindakan Ekonomi akan meneliti perkara berkenaan.